PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kandungan video berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027 didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan.
MCMC berkata, pihaknya menerima aduan orang awam berhubung video berkenaan termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat.
Katanya, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.
“Sehubungan itu, MCMC telah merujuk perkara ini kepada Kementerian Kewangan.
“Kita kini sedang meneliti kandungan video berkenaan, termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Katanya, kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
“Orang ramai digesa supaya menyemak sebarang maklumat berkaitan Belanjawan 2027 melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, www.sebenarnya.my, chatbot AIFA melalui WhatsApp di 03-8688 7997, serta saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan,” katanya.- UTUSAN











