Banjir pertama kali landa Gurun Sahara

Banjir pertama kali landa Gurun Sahara

IMEJ menunjukkan tasik besar terbentuk di tengah bukit pasir di Gurun Sahara.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Imej menakjubkan dari Gurun Sahara menunjukkan tasik besar terbentuk di tengah bukit pasir, selepas banjir melanda kawasan paling kering dan gersang di dunia buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad.

Gurun Sahara adalah lokasi yang sememangnya mengalami hujan, tetapi kebiasaannya hanya beberapa inci setahun dan jarang berlaku pada akhir musim panas.

Bagaimanapun, pada September lalu, hujan lebat turun selama dua hari di beberapa bahagian padang pasir di tengah Maghribi, selepas sistem tekanan rendah merentasi barat laut Sahara.

Data awal satelit NASA menunjukkan hampir 8 inci hujan di beberapa kawasan dalam wilayah itu.

Errachidia, sebuah bandar gurun di tenggara Maghribi, mencatat hampir 3 inci hujan, kebanyakannya dalam tempoh dua hari sahaja bulan lalu.

Jumlah ini adalah lebih empat kali ganda daripada purata hujan bagi keseluruhan bulan September dan bersamaan lebih separuh jumlah hujan tahunan bagi kawasan tersebut.

“Sudah 30 hingga 50 tahun sejak kami menerima hujan sebanyak ini dalam tempoh yang singkat,” kata jurucakap Agensi Meteorologi Maghribi, Houssine Youabeb kepada AP minggu lalu.

Semasa hujan mengalir di kawasan padang pasir, ia mencipta landskap baharu yang dipenuhi air di tengah pokok palma dan tumbuhan renek.

Antara imej yang paling dramatik direkodkan dari pekan gurun Merzouga, di mana hujan lebat yang jarang berlaku membentuk tasik di tengah bukit pasir.

Taburan hujan juga mengisi tasik yang biasanya kering, seperti di Taman Negara Iriqui, yang terbesar di Maghribi.

Walaupun kebanyakan hujan turun di kawasan terpencil yang jarang berpenduduk, sebahagian hujan juga melanda bandar dan kampung di Maghribi, menyebabkan banjir maut bulan lalu meragut lebih 12 nyawa.

Sahara adalah padang pasir bukan kutub terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 9.3 juta kilometer persegi.- CNN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN