KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya Kerajaan Perpaduan diwujudkan di negeri Johor sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dimenangi Barisan Nasional (BN).
Menurut Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, kemenangan yang dijangka itu adalah hasil bersama BN dan Pakatan Harapan (PH), sekali gus merasakan lebih ‘manis’ jika kerjasama itu diteruskan dengan membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu memaksa mana-mana pihak memandangkan ‘baton’ berada di tangan BN, jadi peluang untuk mengukuhkan kerjasama itu berada di tangan mereka.
“Cuma saya rasa inilah masa yang sesuai untuk melihat gabungan BN-PH ini diperkukuhkan. Kalau BN kenang, ‘baton’ berada di tangan mereka, kalau mereka ikhlas dengan gabungan ini, maka inilah masa yang sesuai untuk ia diperkukuhkan.
“Apa pun, terpulang kepada orang yang berbudi kepada kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya mengumumkan pembentukan
Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya BN memenangi PRK Mahkota.
PRK DUN Mahkota pada 28 September ini menyaksikan pertembungan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien sebelum ini berkata, kerjasama jentera parti Kerajaan Perpaduan semakin serasi dan berjalan lancar seperti yang diharapkan.










