Tiada air: Tiga musim tidak tanam padi, pesawah hilang punca rezeki

Tiada air: Tiga musim tidak tanam padi, pesawah hilang punca rezeki

SEBAHAGIAN petani menunjukkan kawasan sawah yang kering kontang akibat masalah tiada air di Kampung But, Ketereh semalam. – UTUSAN/ROSMIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Petani di Kampung But, Ketereh di sini mendakwa terpaksa menggunakan wang tabungan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas tidak dapat mengusahakan tanaman padi ekoran masalah bekalan air.

Dakwa mereka, keadaan itu menyebabkan mereka mengalami kerugian teruk dalam tempoh tiga musim berturut-turut kerana kehilangan sumber pendapatan.

Seorang pesawah, Aswari Nawi, 39, berkata, ketika ini dia bergantung sepenuhnya kepada wang tabungan setelah tiga musim kehila­ngan sumber pendapatan akibat masalah ketiadaan air.

Menurutnya, bagi menggelak keadaan menjadi lebih parah dia terpaksa berjimat cermat bagi memastikan kewangannya di­urus dengan baik.

“Keadaan ini sangat terkesan buat kami sebagai pesawah kerana ini adalah satu-satunya mata pencarian kami,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia rata-rata pesawah mengeluh dan tersepit sama ada mahu atau tidak mengambil risiko mengu­sahakan sawah padi susulan perit dengan ketiadaan sumber bekalan air ketika ini.

Dakwa mereka, masalah itu akan berterusan selagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air.

Sementara itu, seorang lagi petani Tamlikhan Mohd. Resdi, 39, memberitahu, sudah tiga musim berturut-turut dia tidak dapat mengusahakan tanaman padi akibat masalah tersebut.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia dan rakan-rakan petani lain sudah kehabisan modal pusingan untuk menanam padi.

“Besar harapan saya agar masalah air ini segera diselesaikan, jika tidak kami akan terus berdepan dengan kerugian sekali gus boleh menjejaskan sumber makanan negara.

“Sekiranya kami ambil keputusan untuk meneruskan kerja-kerja tanaman padi musim ini, berkemungkinan besar lebih banyak kerugian terpaksa ditanggung kerana musim tengkujuh semakin menghampiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN