BUKIT MERTAJAM: Pemilihan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong sebagai Pengerusi DAP negeri baharu kerana pemimpin itu dilihat berupaya menyatupadukan seluruh ahli DAP di Pulau Pinang ketika ini.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, pada masa yang sama, pemilihan Steven yang juga Menteri Sumber Manusia, dilihat memudahkan transisi kepimpinan dalam DAP pada masa depan.
“Sistem pelantikan perjawatan dalam parti DAP ini berbeza kerana pelantikan jawatan dilakukan (sendiri) oleh (calon) yang menang selepas pemilihan (diadakan).
“Jadi, barangkali YB Sim (Yang Berhormat, Steven Sim) dianggap sebagai faktor penyatuan pelbagai kem dalam DAP (di Pulau Pinang) dan memudahkan transisi kepimpinan dalam parti dan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada sesi pemilihan perwakilan DAP Pulau Pinang kelmarin, Steven meraih undi kedua tertinggi selepas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh apabila mendapat 1,237 undi berbanding Ramkarpal 1,247 undi.
Terdahulu, Steven diletakkan sebagai calon pilihan untuk menggantikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang pada sesi pemilihan tersebut, bersama seorang lagi calon pilihan iaitu Ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Hui Ying bagaimanapun berada pada kedudukan ke-12 daripada 15 ahli jawatankuasa yang dipilih selepas hanya meraih 827 undi, namun, berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha DAP Pulau Pinang untuk penggal 2024/2027.
Difahamkan, pemilihan Steven sebagai Pengerusi dan Ramkarpal sebagai Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu, dibuat atas persetujuan kesemua 15 ahli jawatankuasa yang dilantik tanpa campur tangan pihak lain.
Dalam pada itu, Sivamurugan berpandangan, Steven perlu bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang selepas ini jika mahu dilantik sebagai Ketua Menteri.
Katanya, itu mungkin langkah awal untuk bersedia bagi tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang.
“Kombinasi yang menang (sebagai ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang) datang dari pelbagai kem dan menjadi tanggungjawab YB Sim untuk menyatukan semua (ahli) dan memastikan tidak ada keresahan dalaman.
“KM (Ketua Menteri) Chow juga akan mengakhiri tempoh dua penggal (pentadbirannya) yang dibolehkan oleh Perlembagaan negeri. Maka, Sim jika calonnya (sebagai Ketua Menteri baharu Pulau Pinang), (maka) perlu kemukakan dari sekarang,” ujar beliau. – UTUSAN










