KOTA BHARU: UMNO Kelantan membawa semangat Nenggiri untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekali gus mempertahankan kerusi berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Ketua Pengerangan UMNO negeri Noor Hariri Mohamed Nor berkata, ia akan diterjemahkan sebaik mungkin menerusi kerja-kerja mempromosikan Syed Hussien bagi memastikan rakyat kawasan itu memberi mandat kepada BN.
“Semasa kempen di Nenggiri kita fokus kepada mendekati pengundi dan formula itu dilihat lebih berkesan berbanding siri-siri ceramah dalam skala yang besar.
“Jadi saya lihat tidak salah formula Nenggiri diguna pada PRK DUN Mahkota. Kita akui, Syed Hussien bukalah orang baharu di kawasan itu, beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Kluang yang sudah lama bersama dengan rakyat di situ.
“Bagaimanapun, kita perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh berada di zon selesa kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Namun UMNO Kelantan percaya rakyat di DUN Mahkota sudah tahu jasa BN di kawasan berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Hariri memberitahu, pemilihan Syed Hussien sebagai calon amat tepat.
Katanya, langkagh itu merupakan kesinambungan resipi kejayaan PRK Nenggiri yang menampilkan orang muda sebagai calon.
“Saya mengenali Syed Hussien secara peribadi sebagai seorang yang taat kepada parti, aktif dalam bidang kebajikan dan sosial serta sangat rapat dengan anak-anak muda di Kluang.
“Nilai tambah yang sangat istimewa pada calon ini ialah beliau pandai berbahasa Cina, sudah semestinya kaum itu akan memberikan sokongan kepada Syed Hussien,” ujarnya.
Noor Hariri berkata, kesepakatan dan kerjasama antara BN dan rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan akan menjadi pemangkin dalam misi mempertahankan kerusi DUN Mahkota.-UTUSAN











