PRK Mahkota: BN, PN tempuhi cabaran berbeza

PRK Mahkota: BN, PN tempuhi cabaran berbeza

NASIB Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) dan Mohamad Haizan Jaafar akan ditentukan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cabaran berbeza ditempuhi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada minggu terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Sabtu ini.

Bagi BN, parti itu perlu meyakinkan pengundi di luar Mahkota supaya pulang untuk menunaikan tanggungjawab manakala PN tidak boleh tertumpu kepada pengundi Melayu semata-mata.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, cabaran kedua-dua parti yang bersaing itu perlu memainkan peranan untuk meraih peratusan mengundi tinggi. Pengundi Melayu di DUN Mahkota 54 peratus, pengundi Cina 35 peratus dan lapan peratus India.

“Berdasarkan apa yang kami temui di lapangan, penduduk Cina di kawasan tersebut tiada masalah untuk keluar mengundi, malah mereka lebih menunjukkan tidak sabar menunggu hari pengundian.

“Namun menjadi cabaran besarnya adalah anak-anak mereka yang bukan lokaliti di kawasan tersebut. Bagaimana kedua-dua parti ini ingin menarik pengundi di luar kawasan seperti di Singapura dan Kuala Lumpur untuk pulang dan laksanakan tanggungjawab.

“Bagi PN pula, mereka masih tidak mampu menggerakkan jentera mereka untuk menembusi kubu Pusat Daerah Mengundi bukan Melayu, termasuk segmen pengundi India.

“Jadi saya melihat di pusingan akhir ini PN perlu menggerakkan secara menyeluruh dan bukan tertumpu kepada satu segmen kerana populasi di Mahkota di sini bercampur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz berkata, dia menerima laporan daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk keluar mengundi.

Perkara itu dipercayai susulan kontroversi membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh dan pemimpin DAP, Teresa Kok mengenai isu sijil halal.

Mengulas lanjut, Hisommudin berkata, bagaimanapun beliau menjangkakan peratusan pengundi akan melonjak lebih 53 peratus berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.

“Kalau waktu PRN sebelum ini, ada kekangan mahu balik disebabkan Covid-19, jadi ia menjadi faktor utama tanggungjawab tidak dapat ditunaikan. Jadi saya percaya PRK DUN Mahkota ada peningkatan,” ujarnya.

Mengulas tentang suasana berkempen, Hisommudin berkata, mood kali ini dilihat ‘lesu’, dipercayai pengundi lebih banyak tertarik dengan sebaran dalam media sosial, sekali gus kurang sambutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN