MoU peruntukan langgar Perlembagaan - Hamzah

MoU peruntukan langgar Perlembagaan – Hamzah

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ahli Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen kerana didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara empat sebab fundamental PN menolak MoU tersebut kerana menyifatkan kandungannya bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama.

Menurut beliau, MoU tersebut juga boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

“Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Draf MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menyentuh aspek salah tafsir dan guna kuasa, Hamzah berkata, draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini membuka ruang kepada berlakunya pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara sebelah pihak.

Malah kata Ahli Parlimen Larut itu, draf MoU itu turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen.

“PN mahu mengingatkan kerajaan tentang manifesto PH yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai semua janji-janji tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pas juga menolak tawaran MoU itu dengan menyifatkannya tidak mengikut sifat tabii sebenar dalam amalan demokrasi ajaran Islam.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian.

“Kita minta dengan cara baik berkonsepkan federalisme, demokrasi sebenar yang adil dan tidak zalim, tidak berbohong dan tidak mengkhianati perjanjian dengan semangat cintakan negara walaupun berbeza ideologi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×