TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyeru umat Islam untuk bersama rakyat Lubnan dan Hezbollah dalam menghadapi kejahatan rejim Israel.
Beliau mengutuk dasar Israel yang disifatkan ‘berpandangan sempit’ selepas melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Lubnan dan membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.
“Nasib wilayah ini akan ditentukan oleh kumpulan pejuang, dengan Hezbollah di barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan selepas Israel mengumumkan serangannya di Beirut semalam membunuh Nasrallah.
Khamenei menegaskan, pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat yang tidak berdaya di Lubnan sekali lagi mendedahkan keganasan Israel dan membuktikan dasar pendek akal serta bodoh pemimpin rejim itu.
Kenyataan Khamenei tidak menyebut mengenai Nasrallah, tetapi beliau menegaskan Israel terlalu lemah untuk menyebabkan kerosakan besar kepada struktur Hezbollah di Lubnan.
Justeru, beliau menyeru ‘Pakatan Penentangan’, kumpulan bersekutu Iran di seluru Asia Barat yang menyasarkan Israel dan Amerika Syarikat (AS), untuk berdiri bersama Hezbollah.
“Lubnan akan membuat penyerang dan musuh jahat itu menyesal,” kata Khamenei.
Sebelum ini, Reuters melaporkan Khamenei dipindahkan ke lokasi selamat di dalam negara dengan langkah keselamatan yang diperketatkan.
Menurut sumber, Iran sentiasa berhubung dengan Hezbollah dan kumpulan proksi serantau lain untuk menentukan langkah seterusnya selepas Israel mengumumkan membunuh Nasrallah dalam serangan di selatan Beirut, kelmarin.- AFP










