PETALING JAYA: “Tak kesian ke dengan Fatima?”
Demikian respons netizen menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik oleh pelakon, Fattah Amin, 33, di platform media sosial, baru-baru ini.
Tatkala status rumah tangga pelakon itu bersama isterinya, Nur Fazura, 40, terus menjadi tanda tanya, rata-rata warganet menggesa Fattah untuk bersuara dengan meluahkan rasa simpati dengan nasib anak mereka, Nur Fatima Aisya, 3.
“Kalau ada buat salah, minta maaf. Tak kesian ke dengan Fatima? Sebelum buat apa-apa, fikirlah anak dulu. Saya peminat awak berdua. Semoga baik-baik sahaja,” komen seorang peminatnya.
Enggan melihat hubungan pasangan sejoli itu berakhir, ada juga pihak yang berharap gosip mengenai rumah tangga Fattah dan Fazura itu hanya khabar angin semata.
Malah, mereka juga menggesa Fattah untuk bersuara dan perbaiki situasi yang semakin keruh.
“Harap semua itu hanyalah khabar angin sahaja. Jika ada sebarang masalah dalam hubungan, tolong selesaikan dengan baik. Jangan tinggalkan dia (Fazura),” tegas seorang lagi pengikutnya.
Sejak kebelakangan ini, isu rumah tangga Fazura dan Fattah semakin menjadi perhatian selepas didakwa diganggu orang ketiga.
Meskipun diasak pelbagai spekulasi, pasangan itu lebih memilih untuk mengunci mulut dan terus menjalani kehidupan masing-masing dengan tenang.
Sebelum ini, Fazura menafikan rumah tangga mereka sedang bergolak setelah sekian lama tidak kelihatan bersama di mana-mana acara mahupun berkongsi foto antara satu sama lain di media sosial.
Fattah bagaimanapun dilihat selesa mengunci mulut dan berdiam diri sehingga hari ini. – UTUSAN










