PARIT BUNTAR: Perhubungan penduduk di beberapa buah kampung di sini terjejas berikutan laluan utama di kampung mereka mendap sejak dua bulan lalu.
Jalan mendap sepanjang 30 meter itu melibatkan jalan utama Kampung Haji Said di sini, menyebabkan kereta atau lori yang melaluinya akan tersangkut.
Jalan yang terjejas itu merupakan laluan utama ke arah Teluk Pial, Parit Abas, pekan Kuala Kurau dan ke Sungai Baharu dan pekan Batu 5.
Penduduk, Muhamad Zulhairi Ahmad, 37, berkata, jalan mendap itu menyebabkan sebuah jentera bomba tersangkut ketika mahu memadam kebakaran rumahnya di Parit Sungai Burung Kuala Kurau, 6 September lalu.
“Saya kecewa kerana faktor jalan mendap menyebabkan jentera bomba tersangkut mengakibatkan mereka tidak dapat tiba pada waktunya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Muhamad Zulhairi, kerosakan jalan itu perlu segera dibaiki untuk kemudahan penduduk.
“Jalan ini satu-satunya jalan utama bagi penduduk untuk keluar dan masuk,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Md Termizi Zaini, 66, berkata, jika jalan itu dibiarkan, kerosakan akan bertambah teruk.
“Keadaan jalan mendap menyukarkan penduduk untuk keluar masuk terutama pelajar pergi dan balik sekolah. Jika tidak dibaiki segera, saya khuatir permukaan mendap itu semakin melebar,” katanya.
Bagi Ismail Juri, 66, pula, aktiviti harian penduduk terjejas sejak berlakunya jalan mendap berkenaan.
“Lebih 600 orang penduduk Kampung Haji Said terjejas akibat jalan mendap ini dan kami harap kerajaan segera membaik pulih jalan ini,” katanya.
Sementara itu, ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, beliau menerima banyak aduan tentang kerosakan permukaan jalan dari penduduk dari kampung -kampung di Kuala Kurau.
Katanya, dua laluan iaitu di Kampung Haji Said dan Kampung Sungai Burung perlu dibaikpulih dengan segera kerana itu merupakan laluan utama.
“Perkara ini telah saya bawa ke dalam mesyuarat dan pengetahuan Pejabat Daerah dan dimaklumkan mereka sudah kehabisan peruntukkan dan terpaksa menunggu peruntukan yang baharu pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN











