Hidupkan MN: Pas akan jumpa pemimpin UMNO, kecuali Zahid

Hidupkan MN: Pas akan jumpa pemimpin UMNO, kecuali Zahid

Hadi Awang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, selain pimpinan UMNO, pertemuan itu juga akan diadakan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presi­den Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali.

Menurut beliau, Pas komi­ted menghidupkan kembali MN seperti mana digagaskan terdahulu dan terbuka meneri­ma UMNO dan pimpinan parti berkenaan.

“Pas juga akan terus menarik sokongan pemimpin Melayu dan bumiputera serta bukan Islam yang tidak ekstrem. Ini merupakan pegangan kita Pas,” kata beliau pada sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini semalam.

Mengulas tentang MN sebenar, Abdul Hadi berkata, ia merupakan perbincangan asal penyatuan orang Melayu dan bumiputera.

“Ia melibatkan beberapa pe­mimpin UMNO semasa Ahmad Zahid bercuti, dia tidak terlibat dan kita bersetuju untuk mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Melayu, bumiputera untuk mengambil alih kerajaan bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kita berjaya ambil alih kerajaan dalam beberapa tempoh.

“Tapi tidak teguh, tidak kuat kedudukannya. Ini cerita dahululah, tapi ada kejayaannya dan ada kesannya. Kesannya adalah beberapa pimpinan UMNO bersama dengan kita tinggal segelintir sahaja yang bersama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Ditanya tentang reaksi UMNO berhubung usaha menghidupkan kembali MN, beliau berkata, terdapat perbezaan antara UMNO dengan orang UMNO.

“UMNO ada undang-undang tubuh dia. Ada orang UMNO yang sudah lari dengan undang-undang tubuh UMNO. Ada yang masih berpegang dengan dasar UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas kekal dengan pendirian tidak akan menyertai PH dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Selagi PH berpegang kepada prinsip dan dasar yang pragmatik, tidak konsisten yang mana komponennya bukan parti yang mempunyai dasar yang teguh.

“Ada dasar yang bercanggah dengan perjuangan kita contohnya DAP. DAP yang sekular, Malaysian Malaysia dan politik antarabangsa pun parti itu mengikut Singapura, Taiwan dan Amerika Syarikat,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, Pas juga menafikan mempunyai kaitan dengan kumpulan perniagaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) sebagaimana didakwa sesetengah pihak termasuk oleh media antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN