KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong muncul pemimpin politik berpendapatan tertinggi di dunia, dengan gaji tahunan sebanyak RM7.89 juta, jauh meninggalkan pemimpin global yang lain.
Menurut Forbes, berada di tempat kedua ialah Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-chiu dengan pendapatan sejumlah RM3.25 juta setahun.
Di tempat ketiga, Presiden Switzerland, Viola Amherd memperoleh gaji sejumlah RM2.67 juta walaupun hanya memegang jawatan kurang setahun.
Walaupun boleh dipilih semula, Amherd, yang memulakan jawatan pada 1 Januari lalu akan menamatkan tempoh pentadbiran pada 31 Disember ini.
Dalam senarai sama, Presiden AS, Joe Biden berada di tempat keempat dengan gaji sebanyak RM1.88 juta setahun, sementara Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, hanya berada di belakang sedikit dengan gaji sebanyak RM1.86 juta.
Canselor Jerman, Olaf Scholz yang membawa pulang RM1.58 juta setahun berada di tempat keenam senarai, diikuti Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dengan RM1.66 juta.
Sementara itu, Canselor Austria di tempat kelapan, Karl Nehammer, menerima gaji sebanyak RM1.49 juta.
Melengkapkan senarai 10 pemimpin bergaji paling tinggi ialah Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon yang masing-masing berada di tempat kesembilan dan ke-10 dengan gaji sebanyak RM1.34 juta RM1.3 juta.
Menariknya, apabila gaji diukur berbanding kekuatan ekonomi negara, Presiden Kenya, William Ruto muncul penerima gaji tertinggi, dengan pendapatan hampir 2,000 peratus daripada KDNK per kapita Kenya.
Sebaliknya, Presiden Sri Lanka menjadi salah seorang pemimpin dengan gaji terendah, menerima hanya RM16,777 setahun, atau 25 peratus daripada KDNK per kapita negara tersebut.- AGENSI










