BOGOTA: Kumpulan advokasi United Kingdom, Global Witness menyifatkan Colombia sebagai negara paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar dan pembela hak tanah, berikutan pembunuhan 79 aktivis tahun lepas.
Menurut laporan Global Witness kelmarin, jumlah aktivis alam sekitar yang dibunuh adalah tertinggi direkodkan bagi sesebuah negara sejak pembunuhan sedemikian mula dipantai pada 2012.
Penasihat Kanan Kempen Pembela Tanah dan Alam Sekitar Global Witness, Laura Furones menyifatkan angka itu mengerikan dan penemuan laporan adalah konservatif.
Di peringkat global, 196 aktivis alam sekitar dan pembela hak tanah terbunuh pada 2023, dengan Amerika Latin menyumbang 85 peratus daripada pembunuhan itu, kata Global Witness.
Penemuan di Colombia sangat bertentangan dengan janji kerajaan Presiden Gustavo Petro, yang memegang jawatan pada 2022 dan berjanji untuk menamatkan konflik 60 tahun di negara tersebut.
Colombia juga merupakan negara paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar pada 2022, apabila sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh.
Susulan perkembangan itu, jurucakap kerajaan Colombia memaklumkan sedang mengusahakan tindak balas terhadap laporan tersebut.
Tahun lalu, siasatan Reuters mendapati pembunuhan aktivis alam sekitar di Columbia membawa kesan negatif jangka panjang terhadap usaha pemuliharaan dan beberapa kawasan perbandaran, di mana aktivis terbunuh menyaksikan lonjakan ketara dalam penebangan hutan.- REUTERS










