BN tetap merendah diri - Utusan Malaysia

BN tetap merendah diri

ONN HAFIZ Ghazi sentiasa berusaha menyantuni semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK awal lagi Barisan Nasional (BN) tetap menganggap parti itu ‘underdog’ dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 28 September ini.

Walaupun di atas kertas BN dilihat tiada masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Malah, ada yang beranggapan BN mampu memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti jauh lebih besar berbanding 5,166 undi yang diperoleh penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Dengan kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, BN Johor diramal mampu melonjakkan jumlah majoriti undi dalam PRK tersebut susulan pengundi Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak keberatan untuk memberi undi kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah.

Malah, berdasarkan sambutan selepas seminggu berkempen, sambutan terhadap calon BN semakin meningkat dan dilihat mendahului calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar atau lebih popular dengan panggilan Coach Haizan.

Biarpun ramai yang meramalkan BN akan berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota, namun Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tetap bersikap merendah diri.

Sejak dari awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,  Menteri Besar Johor itu yang  sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tetap menganggap BN sebagai ‘underdog’ dalam saingan tersebut.

Beliau yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN dalam PRK itu nyata tidak mahu terlalu yakin walaupun menyedari calon BN mendahului saingan.

Malah, beliau menganggap perjalanan kempen masih panjang menuju tarikh akhir 28 September ini bagi menentukan siapa yang bakal mewakili kerusi DUN Mahkota.

“Kita anggap pasukan kita sebagai ‘underdog’ dan kita akan berusaha gigih untuk memastikan kemenangan di DUN Mahkota,” katanya sambil tersenyum apabila ditanya tentang perjalanan kempen dan sambutan terhadap Syed Hussien setelah seminggu berkempen.

Kenyataan itu dilihat bersifat serampang dua mata, iaitu tidak bersikap terlalu yakin dalam usaha mencapai kemenangan.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai motivasi dan suntikan semangat bagi jentera BN supaya terus berusaha gigih mendapatkan sokongan dan undi bagi memastikan kerusi tersebut tidak terlepas ke tangan lawan yang dipanggil pengimbang di peringkat kerajaan negeri.

Memang benar, masih ada seminggu lagi waktu berkempen dan apa-apa boleh berlaku dalam tempoh berkenaan.

Selain terus meningkatkan momentum kempen, jentera yang diberi tugas mengikut kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga harus segera dan bijak menangani segala isu yang dibangkitkan parti lawan.

Andai tidak dijelaskan dengan baik, isu-isu tersebut mampu menjejaskan sokongan terhadap calon mereka. 

Justeru, semua jentera parti harus mengatur strategi terbaik dalam mengharungi tempoh seminggu lagi masa  berkempen.

Ingat, meriahnya sorak belum tentu menang undi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×