KUALA LUMPUR: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan tidak bertanding mana-mana jawatan di peringkat kepemimpinan tertinggi pada pemilihan parti itu, Oktober ini.
Mohamed Azmin sebaliknya berkata, beliau hanya akan bertanding di peringkat bahagian iaitu di Gombak.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“(Bertanding jawatan kepimpinan tertinggi?): Tidak.
“(Bertanding mana-mana jawatan?): Ketua bahagian Gombak,” jawabnya ringkas menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sabtu lalu, proses pencalonan peringkat bahagian di seluruh negara bermula dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin menghantar borang pencalonan sebagai Timbalan Presiden yang kini dipegang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hamzah sebelum ini menyandang jawatan Setiausaha Agung bagi penggal 2020-2023.
Selain itu, difahamkan Ahmad Faizal akan bertanding jawatan Naib Presiden, secara tidak langsung memberi laluan kepada Hamzah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden.
Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin berkata, beliau telah diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan parti bagi memastikan pemilihan pada Oktober nanti tidak mengakibatkan perpecahan dalaman.
Menurut Muhyiddin, Mohamed Azmin ditawarkan jawatan Setiausaha Agung berikutan ketokohan serta kemampuannya menjalankan tugas sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Musim pemilihan parti itu bermula dengan proses pencalonan di peringkat bahagian di seluruh negara bermula semalam manakala peringkat pusat bagi jawatan MPT pimpinan tiga sayap, Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat dijalankan pada Sabtu.
Tarikh persidangan bagi peringkat bahagian parti adalah dari 12 hingga 26 Oktober. – UTUSAN










