1,376 unit kamera badan diuji polis di Lembah Klang

1,376 unit kamera badan diuji polis di Lembah Klang

Polis di Lembah Klang mula melaksanakan pemakaian kamera badan semasa bertugas di lapangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula melaksanakan pemasangan 1,376 unit kamera badan (BWC) bagi menguji keberkesanannya dalam penugasan anggota dan pegawai polis di lapangan.

Pemasangan kamera badan itu melibatkan ibu pejabat polis kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis di zon tengah di Lembah Klang yang dimulakan dalam dua fasa iaitu pada Jun dan Ogos lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, di Kuala Lumpur ia melibatkan lima IPD dan balai polis iaitu IPD Dang Wangi; Balai Polis Dang Wangi; Balai Polis Chow Kit; Balai Polis Tun HS Lee dan Balai Polis Trafik Jalan Bandar.

Menurut beliau, empat lagi di Selangor iaitu IPD Klang Utara, Balai Polis Kampar, Balai Polis Bandar Baru Klang dan Balai Polis Trafik Klang Utara.

“Sembilan lokasi IPD dan balai polis yang dibekalkan kamera badan itu sedang menjadi projek perintis bagi menguji keberkesanan dan fungsi peralatan tersebut yang bakal diperluaskan ke seluruh negara.

“Pelaksanaan tersebut bermula pada 19 Jun lalu melibatkan lima IPD dan balai di Selangor manakala empat lagi di ibu negara,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain itu, kata Razarudin,pelaksanaan pemasangan kamera badan peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan Kontinjen Polis Selangor telah dimulakan pada 12 Ogos dan sudah selesai pada 20 Ogos lalu.

“Jumlah keseluruhan pemasangan kamera badan bagi anggota dan pegawai di Lembah Klang membabitkan 1,376 unit,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya selepas ini akan melaksanakan pemasangan bagi zon selatan melibatkan Kontinjen Polis Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke zon utara dan zon timur.

“Kita jangkakan pemasangan kamera badan selesai sepenuhnya di seluruh Malaysia pada Mac, tahun depan,” katanya..

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, PDRM dijangka mula menerima 7,648 unit kamera badan secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Razarudin dilaporkan berkata, BWC mampu mengesan mana-mana anggota dan pegawai yang terpalit dengan salah laku dan masalah integriti ketika menjalankan tugas.

Beliau berkata, pemakaian BCW akan dibuat secara berperingkat mengikut keperluan dan kepentingan agensi keselamatan tersebut terutama melibatkan penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebelum diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

“Unit-unit ini penting dalam penugasan rondaan pencegahan jenayah dalam kalangan petugas MPV dan URB.

“Ini akan meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama orang awam dan polis kerana setiap perbualan mereka dirakam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN