Perakam badan bantu JPJ hadapi operasi berisiko tinggi

Perakam badan bantu JPJ hadapi operasi berisiko tinggi

Perakam badan
AEDY Fadly Ramli menunjukkan alat perakam badan dalam Ops Khas JPJ, di Banting, Kuala Langat, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Penggunaan alat perakam badan (BWC) membantu kelancaran operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutama yang berisiko tinggi bagi memastikan tahap keselamatan anggota dan menyimpan bukti jika berlaku pertikaian.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengagihan dan pemakaian 100 unit BWC itu akan dilakukan secara berperingkat kepada semua negeri.

“Hari ini (malam tadi) bermula operasi JPJ menggunakan BWC namun ia akan diletakkan di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya terlebih dulu kerana kita juga terlibat dalam operasi khas bersama dengan negeri.

“Lebih separuh perolehan 100 unit itu diagihkan kepada negeri-negeri termasuk digunakan bagi operasi berisiko tinggi,” katanya kepada pemberta, pada Operasi (Ops) Khas JPJ, malam tadi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan semua BWC itu akan digunakan pegawai penguat kuasa JPJ melibatkan ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta bagi fasa pertama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bagi memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan dan meningkatkan integriti, ketelusan serta melindungi mereka daripada tohmahan tidak berasas ketika menjalankan tugas.

Selain itu, Aedy Fadly berkata, kerajaan turut bersetuju dengan perolehan 60 senjata api baharu kepada JPJ bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika bertugas di lapangan.

“Ini apabila kerajaan lihat bahawa tugas-tugas anggota JPJ di lapangan ini berisiko tinggi. Perolehan 60 pistol baharu itu bagi tahun ini dan kita telah mempunyai lebih 400 senjata di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan rondaan dan pemantauan jalan raya di seluruh negara sepanjang sambutan Deepavali.

“Tindakan itu perlu berikutan jumlah kenderaan dijangka bertambah ekoran cuti perayaan dan persekolahan secara serentak 18 hingga 22 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN