KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 7,000 unit kamera badan atau Body Worn Camera (BWC) bagi memperkukuh tadbir urus.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, penggunaan BWC membolehkan setiap tindakan anggota polis direkod dengan jelas, sekali gus memudahkan siasatan, pemantauan dan memastikan integriti setiap petugas kekal terjamin serta meningkatkan akauntabiliti serta keyakinan orang awam dalam setiap penugasan anggota.
Menurutnya, BWC ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dalam memastikan setiap operasi penguatkuasaan dijalankan secara profesional.
“Lebih 7,000 unit BWC ini akan diagihkan kepada semua unit berkaitan bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM serta memperkukuh tadbir urus yang baik,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di dataran Kompleks 3 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman (Cawangan Khas), di sini, semalam.
Tambahnya, selain BWC, JPJKK turut memperoleh lebih 1,600 kenderaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) serta lebih 1,100 unit pistol renjatan elektrik untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan melindungi keselamatan petugas.
Katanya, aspek infrastruktur dan kelengkapan merupakan elemen kritikal dalam memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi JPJKK, khususnya dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Sepanjang Januari hingga Oktober 2025, Unit Mobile Patrol Vehicle (MPV) bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Bahagian Operasi Darat JPJKK tersebut telah berjaya melaksanakan lebih 19,000 tangkapan melibatkan pelbagai kes jenayah termasuk narkotik dan imigresen, menunjukkan komitmen tinggi petugas JPJKK.
“Pencapaian ini amat membanggakan dan mencerminkan komitmen tinggi petugas JPJKK dalam menjaga keselamatan awam,” katanya. – UTUSAN










