SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga asing yang mendalangi 45 kes samun bersenjata sejak 2018 membabitkan kerugian RM8 juta maut ditembak mati oleh polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.59 petang itu, suspek yang memandu sebuah kereta jenis Hyundai Matrix ditembak mati oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebelum insiden berbalas tembakan, suspek berjaya dikesan oleh pihak polis sebelum mengarahkannya berhenti.

Namun, suspek enggan dan bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis.
“Suspek yang bersenjatakan pistol jenis Revolver melepaskan lima das tembakan ke arah polis dengan dua tembakan mengenai kenderaan polis sebelum pihak polis melepaskan tembakan balas dan mengenai suspek.
“Suspek berusia lewat 30-an dan berasal dari sebuah negara di benua Afrika maut dilokasi selepas ditembak di tempat kejadian,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya percaya suspek terlibat dengan kumpulan samun bersenjata api sejak 2018.
“ Setakat ini, kita percaya kumpulan ini mendalang 45 kes dengan kerugian RM8 juta.
“Dua kes terbaharu dikesan berlaku tahun ini dan masih dalam siasatan membabitkan kerugian RM320,000,” jelasnya.
Menurut beliau, modus operadi kumpulan ini adalah dengan mengiklankan khidmat transaksi menerusi media sosial termasuk menjual barang kemas, pertukaran wang asing serta beberapa perniagaan lain.
Beliau berkata, suspek kemudian akan mengajak mangsa berjumpa, kebiasaanya di hotel untuk mejalankan transaksi dan selepas itu akan mengajak mangsa menaiki kenderaan bersama untuk membuat transaksi seterusnya.
“Ketika dalam perjalanan itu, mereka akan memberhentikan kenderaan sebelum beberapa suspek lain bersenjatakan sama ada parang atau senjata api masuk ke dalam kereta seterusnya menyamun. Itu modus operandi yang kita dapat kenal pasti setakat ini,” ujarnya.
Tambah Mohd Shuhaily, pihaknya kini sedang memburu kira-kira 10 lagi rakan subahat suspek yang ditembak mati itu dan kesemua mereka dipercayai berasal dari negara sama.
“Kita percaya suspek sudah berada di negara ini sejak 2018 dan kita masih jalankan siasatan tentang lanjut tentang status keluar masuk dia di negara ini.
“Mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya.










