SEREMBAN: Tiga orang rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyimpan beberapa spesies burung dilindungi seperti Burung Daun Sayap Biru, Bayam Serindit, Scarlet Minivet dan Sultan Tit di Jalan Kampung Langkap, Tanjung Ipoh di Kuala Pilah pada November 2023.
Orang Kena Saman (OKS) itu termasuk seorang anggota pasukan keselamatan, Muhammad Ikwan Mat Yusoff, 26, seterusnya Suria Mat Yunus, 49, bekerja sebagai kontraktor dan operator kilang, Muhammad Fitri Zali, 24.
Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Ikwan, didakwa menyimpan seekor Burung Daun Sayap Biru manakala Suria didakwa menyimpan tiga spesies burung iaitu Burung Daun Sayap Biru, Scarlet Minivet dan Sultan Tit dan Muhammad Fitri didakwa menyimpan dua ekor burung iaitu Burung Daun Sayap Biru dan Bayam Serindit.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di lokasi dan tarikh sama di Jalan Kampung Langkap, Tanjung Ipoh di Kuala Pilah lebih kurang pukul 12.20 tengah hari pada 19 November 2023.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Pindaan 2022, yang mana boleh didenda minimum RM50,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendawaan ke atas Muhammad Fitri turut dibuat di Bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Pindaan 2022 kerana menyimpan seekor Burung Bayam Serindit.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan kepada kesemua OKS.
Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang paling rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Ikwan diikat jamin sebanyak RM2,000 seterusnya Suria dan Muhammad Fitri masing-masing diikat jamin RM4,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 September depan.-UTUSAN.










