SEREMBAN: Polis kini memburu seorang lelaki yang merupakan salah seorang suspek yang terlibat dalam kejadian pecah rumah melibatkan rumah seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar Tan Sri di sebuah taman perumahan dekat Nilai Impian, Nilai di sini 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, ia susulan tangkapan terhadap dua orang lelaki tempatan yang disyaki turut terlibat dalam kejadian tersebut tiga hari kemudian.
“Suspek ketiga, warga tempatan itu masih diburu dan dikehendaki bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.
“Dia dikenali sebagai Julian Said, 37, dengan beralamat terakhir di Kampung Tawadakan Jalan Kudat, Kota Belud, Sabah,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, hasil tangkapan ke atas dua orang suspek yang berusia 40-an itu, polis telah menemui semula sebahagian barang-barang yang dilaporkan hilang, dianggarkan bernilai lebih kurang RM5 000.
“Semakan mendapati, kedua-dua suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Oleh demikian, polis memohon bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat bagi mengesan seorang lagi suspek dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Afandi Othman di talian 019-8156812 atau mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN.










