SIKAP terlalu yakin Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan ‘memakan diri’ apabila calon mereka dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggunakan logo Pas tumbang dengan majoriti 3,352 undi kepada Barisan (BN), Sabtu lalu.

Ia dapat dilihat apabila PN awal-awal lagi sebelum gelanggang PRK Nenggiri dibuka secara rasmi dengan penamaan calon pada 3 Ogos melaungkan keyakinan awal dengan menjangkakan mereka mampu meraih majoriti lebih tiga kali ganda berbanding semasa Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN) selepas berjaya merampas kerusi tradisi BN dengan kemenangan 810 undi.
Keyakinan itu disandarkan kepada momentum kemenangan bergaya diraih mereka pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai lalu dengan andaian rakyat akan terus menolak gabungan Kerajaan Perpaduan melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Sepanjang tempoh berkempen, PN dilihat lebih yakin dengan ‘menunggang’ isu nasional seperti penyasaran diesel, kegagalan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan zionis Israel.
Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin PN dan penceramah ‘import’ sibuk menyerang peribadi calon BN Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie semasa berucap di Unit Daerah Mengundi (UDM) tanpa menyedari nama Ketua Pemuda UMNO Kelantan tersebut terlalu dekat dengan pengundi.
Kegairahan itu membuatkan mereka tidak memberikan tumpuan kepada isu-isu setempat seperti masalah tanah, penerokaan hutan, bekalan air dan sebagainya.
Berbeza dengan strategi BN yang dilihat lebih ‘ghairah’ memperjuangkan isu-isu setempat melibatkan masalah tanah di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) dibawah selain Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Pada masa sama, mereka turut membangkitkan isu-isu penerokaan tanah di Ulu Nenggiri selain berusaha menyelesaikan masalah-masalah melibatkan penduduk di DUN itu termasuk masyarakat Orang Asli.
Percaturan tidak mengadakan ceramah mega dan mengumumkan calon lebih awal serta turun menyantuni seluruh pengundi menjadi apabila BN menang dengan bergaya sekali gus merampas semula kerusi tradisi mereka.
Keputusan PRK Nenggiri ini perlu dijadikan iktibar oleh PN dan Pas selaku kerajaan di Kelantan dengan melihat semula pendekatan dalam kerja-kerja kempen termasuklah janji-janji yang masih belum ditunaikan seperti Kb Sentral, Bandar Perabot Gua Musang dan sebagainya.
Ingatlah, bulan tidak selalunya mengambang. Adakalanya, gerhana.
Pada PRK Nenggiri Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie menang dengan majoriti 3,352 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.
Awie memperoleh undian 9,091 manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi dengan undi ditolak sebanyak 135. – UTUSAN










