GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani menjelaskan beliau memandu sendiri pacuan empat roda semasa masuk berkempen ke kawasan penempatan Orang Asli di Pos Pasik di sini.
Mohd. Azmawi atau Awie berkata, perkara itu sudah menjadi rutin sebelum ini setiap beliau masuk menyantuni masyarakat berkenaan.
“Jadi, dakwaan saya menggunakan helikopter sebagaimana yang tular di media sosial itu sama sekali tidak benar.
“Sebelum masuk ke Pos Pasik, saya singgah di Masjid Meranto untuk solat Zohor sebelum menyambung perjalanan ke penempatan Orang Asli,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Media semalam melaporkan, Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan dakwaan penggunaan helikopter oleh BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk berkempen kerana jika sewaannya RM350,000 sehari ia telah melanggar had kos kempen.
Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, beliau telah melakukan semakan dan mendapati kos sewaan bagi helikopter yang mempunyai lebih lima kerusi adalah kira-kira RM350,000.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kemudian menjelaskan helikopter yang digunakan sepanjang tempoh berkempen bukan milik kerajaan.
“Kementerian tidak bayar perkhidmatan itu (helikopter). Kalau dia (Annuar) nak pakai saya tiada halangan.
“Sebab LV (beg jenama Lious Vutton) pun dia pakai, helikopter pun dia boleh pakai,” katanya selepas diminta mengulas tindakan Annuar yang mempertikai BN menggunakan helikopter untuk berkempen,” katanya.-UTUSAN










