TOKYO: Jepun mendakwa sebuah pesawat pengintip China menceroboh ruang udaranya, dalam kejadian pertama di negara itu semalam.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi berkata, pencerobohan pesawat Y-9 milik China itu berlaku selama dua minit di ruang udara Kepulauan Danjo, kira-kira pukul 11.29 pagi (waktu tempatan).
“Tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima. Ia adalah pencerobohan yang ketara,” katanya seperti dilapor BBC.
Hayashi berkata, pihaknya juga telah memanggil diplomat China di Jepun bagi medapatkan penjelasan.
Saluran penyiar NHK melaporkan, pihak berkuasa Jepun memberi amaran kepada pesawat China tersebut namun tiada senjata seperti suar digunakan.
Jepun juga telah menyuarakan bantahan menerusi saluran diplomatik kepada Beijing, namun China masih belum memberikan reaksi lanjut.
Insiden berkenaan sedikit sebanyak menimbulkan ketegangan di kepulauan tidak berpenghuni itu yang menjadi punca pertikaian China dan beberapa buah negara jiran, juga sekutu kuat Amerika Syarikat (AS).
Sebuah lagi pulau iaitu Okinawa, turut menempatkan pangkalan tentera AS terbesar di Asia Pasifik.
Selain itu, tentera AS turut berada di perairan Taiwan, Filipina dan Korea Selatan.










