1,000 pelajar anak Perak terima bantuan makanan RM200 sebulan - Utusan Malaysia

1,000 pelajar anak Perak terima bantuan makanan RM200 sebulan

SAARANI Mohamad menyerahkan replika bantuan Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030 kepada wakil universiti dalam majlis di USAS Kuala Kangsar, Perak semalam. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seramai 1,000 pelajar daripada lima buah universiti di negeri ini akan menerima bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan menerusi Program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS) 2030.

Lima kampus tersebut ialah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah mahasiswa anak Perak yang menerima bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan turut meningkat daripada 600 orang pada tahun lalu kepada 1,000 orang pada tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, setiap kampus melibatkan 200 mahasiswa dengan keutamaan diberikan kepada anak Perak daripada keluarga berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah serta golongan asnaf.

“Bagi saya, soal kebajikan mahasiswa perlu diberikan perhatian kerana kita sedar ada anak-anak Perak yang terpaksa berjimat dalam perbelanjaan harian.

“Sedangkan mereka sepatutnya dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran tanpa terlalu dibebankan dengan soal makan,” katanya dalam majlis yang diadakan di USAS semalam.

Program MPS 2030 itu diperkenalkan sejak tahun 2022 dan untuk tahun ini pelaksanaannya diperluaskan dengan penyertaan dua lagi kampus universiti menjadikan jumlah keseluruhan yang terlibat sebanyak lima kampus.

Saarani berkata, pertambahan itu juga membolehkan jumlah penerima meningkat kepada 1,000 orang pada tahun ini.

Menurutnya, pemilihan penerima dibuat melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar di setiap universiti berdasarkan syarat yang ditetapkan, manakala bantuan disalurkan melalui e-dompet mahasiswa untuk digunakan di kios makanan terpilih di dalam kampus.

Tambahnya, sejak diperkenalkan pada 28 Oktober 2022, pelaksanaannya telah diperluaskan dengan jumlah penerima bantuan yang direkodkan sehingga kini mencecah 2,200 orang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini