PETALING JAYA: Selangor FC dan Yakin Splendour Sdn Bhd (YAKIN) menjalinkan kerjasama strategik dengan tumpuan utama kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan pemain yang mengalami kecederaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, peningkatan intensiti permainan masa kini menuntut pendekatan pemulihan lebih berkesan bagi memastikan pemain dapat kembali beraksi lebih cepat.
Katanya, teknologi sel stem juga membuka ruang untuk meneroka prosedur tanpa pembedahan bagi kecederaan tertentu, sekali gus berpotensi mengurangkan keperluan menjalani pembedahan, bergantung pada keadaan dan penilaian perubatan setiap pemain.
“Kalau kita kehilangan pemain penting selama sembilan bulan, mungkin dengan pendekatan ini kita boleh mempercepatkan tempoh pemulihan. Itu sangat penting buat kami.
“Teknologi sel stem berpotensi membantu pemulihan kecederaan ACL dan membuka ruang kepada rawatan tanpa pembedahan bagi kes tertentu, sekali gus berpotensi memendekkan tempoh pemulihan pemain daripada sembilan bulan kepada tiga atau empat bulan,” katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Selangor FC dan YAKIN, semalam.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengarah YAKIN, Datuk Steven Lai.

Sementara itu, Steven melihat kedua-dua pihak turut meneliti peluang perkongsian pengetahuan, pendidikan dan kerjasama dalam bidang teknologi sel stem, perubatan regeneratif, kecederaan sukan serta pemulihan.
“Kerjasama ini mewakili penyatuan antara sains, sukan elit dan masa depan penjagaan kesihatan. Dengan menggabungkan kepakaran penyelidikan YAKIN dengan persekitaran berprestasi tinggi Selangor FC, kami berhasrat meningkatkan standard penjagaan kesihatan sukan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN











