KUANTAN: Seorang pekerja ladang membuat laporan polis selepas mendakwa kena ‘pau’ dengan tiga individu yang didakwa membuat ugutan dan meminta bayaran di Jalan Sungai Lembing di sini, semalam.
Pekerja ladang yang hanya ingin dikenali sebagai Mustaqim berkata, semasa menjalankan kerja memotong buah kelapa sawit di ladang berkenaan, dia didatangi tiga individu termasuk seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Ati’.
“Individu terbabit mengarahkan saya mengisi muatan lori dengan buah kelapa sawit untuk dijual ke kilang. Selepas mengisi buah sawit itu, kita bergerak ke tempat jualan dan diekori dengan kereta individu tersebut.
“Selepas selesai membuat jualan buah dan menerima bayaran dari kilang sawit, individu berkenaan menahan kami dan meminta wang jualan itu secara paksa sehingga memaksa saya menyerahkan wang tersebut,” katanya di sini.
Mustaqim berkata, ‘Ati’ turut memberikan nombor telefon untuk dihubungi jika mahu wang hasil jualan sawit tersebut dikembalikan.
“Selepas memaklumkan kepada majikan saya, dia segera membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan individu berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan tiga individu berkenaan membabitkan seorang perempuan dan dua lelaki.
“Kesemua individu berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN









