PUTRAJAYA: Peruntukan sebanyak RM280.03 juta bagi Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 antara cadangan utama yang sedang diteliti kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor agrikomoditi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan memperkukuh sektor agrikomoditi sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif utama yang memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan serta daya tahan pekebun kecil.
Beliau berkata, usaha berkenaan merangkumi pemerkasaan usahawan hiliran, kawalan bencana dan penyakit, pembangunan infrastruktur serta program tanam semula bagi memastikan sektor agrikomoditi terus berkembang secara mampan.
“Antara inisiatif lain ialah Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi dengan peruntukan RM17.05 juta dan Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi sebanyak RM28.57 juta.
“Kerajaan turut menyediakan RM100 juta bagi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (JLPK),” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.
Selain itu, kata Anwar, Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) turut diteruskan bagi membantu pekebun kecil melaksanakan usaha tanam semula dan memastikan kesinambungan pengeluaran komoditi.
Anwar berkata, inisiatif berkenaan merupakan tambahan kepada program-program yang sedang diteliti di bawah inisiatif utama kerajaan, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Kementerian Ekonomi.
Beliau pada masa sama menegaskan pelaksanaan projek kerajaan perlu dibuat secara berhemah dengan mengambil kira keperluan sebenar di lapangan, termasuk memastikan kemudahan yang dibangunkan tidak terlalu berlebihan atau membazir.
Menurut Anwar, perhatian juga perlu diberikan kepada golongan ekonomi kecil kerana pengusaha warung, restoran dan kedai kecil merupakan sebahagian besar daripada kegiatan ekonomi negara serta turut berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, keberkesanan pelaksanaan program serta sokongan berterusan kepada golongan berkenaan penting bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dirasai rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi kesejahteraan pekebun kecil menerusi peningkatan insentif, bantuan tunai serta penambahbaikan skim pembiayaan bagi membantu golongan berkenaan berdepan cabaran ekonomi dan meningkatkan pendapatan mereka.
Bagi pekebun kecil getah, katanya, kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah dinaikkan sebanyak dua kali di bawah Kerajaan Madani, daripada RM2.50 sekilogram pada 2019 kepada RM2.70 sekilogram pada 2023 sebelum meningkat lagi kepada RM3 sekilogram pada 2024.
Sementara itu, bagi pekebun kecil sawit, kerajaan turut menambah baik pendekatan bantuan tanaman semula yang sebelum ini dilaksanakan menerusi pembiayaan 100 peratus pinjaman.
“Mulai 2024, pendekatan baharu secara hibrid diperkenalkan dengan 50 peratus dalam bentuk geran dan 50 peratus pinjaman mudah pada kadar serendah dua peratus, membabitkan peruntukan RM100 juta,” katanya.
Katanya, perhatian turut diberikan kepada kebajikan pekebun kecil secara keseluruhannya apabila peruntukan penyelenggaraan jalan ladang di seluruh negara ditingkatkan kepada RM50 juta pada 2026 berbanding hanya RM8 juta pada 2022.
“Setakat September 2026, seramai 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf turut menerima bantuan tunai BUDI Agrikomoditi sebanyak RM400 sebulan,” katanya.
Pelbagai inisiatif berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh daya tahan pekebun kecil, meningkatkan pendapatan serta memastikan golongan yang menjadi antara penggerak penting sektor agrikomoditi negara tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi. – UTUSAN








