PETALING JAYA: Pengenalan lesen platform media sosial bermula tahun hadapan membolehkan kerajaan mempertingkatkan keselamatan siber negara dan melindungi pengguna daripada ancaman siber.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Zubaile Abdullah berkata, namun ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan kebebasan bersuara rakyat.
“Penyediaan lesen kepada platform media sosial boleh dianggap sebagai langkah yang baik sekiranya ia bertujuan melindungi keselamatan siber dan pengguna daripada ancaman seperti penyebaran maklumat palsu, buli siber atau kandungan yang merosakkan.
“Namun, langkah ini mesti dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan kebebasan bersuara dan hak asasi pengguna. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan bahawa proses pemberian lesen adalah telus, adil dan tidak diskriminatif
“Selain itu, kerajaan perlu memastikan platform diberikan peluang untuk mematuhi peraturan tanpa mengalami penyekatan yang tidak wajar, keseimbangan antara menjaga keselamatan siber dan menghormati hak kebebasan bersuara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 27 Julai lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan agensi itu boleh menyekat capaian kepada platform media sosial, membatalkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi atau mendakwa mana-mana penyedia perkhidmatan berlesen yang melanggar syarat atau tatalaku bermula 1 Januari 2025.
Mengulas lanjut, Zubaile Abdullah berkata, sekiranya platform media sosial terus menyebarkan kegiatan jahat seperti penipuan, pornografi, dan kecurian data meskipun telah diberikan lesen, tindakan tegas perlu diambil.
“Tindakan yang boleh diambil adalah mengenakan tindakan undang-undang terhadap kandungan yang melanggar peraturan, termasuk tindakan tegas terhadap platform yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan dan etika.
“Selain itu, kerajaan perlu memastikan platform media sosial mempunyai mekanisme yang berkesan untuk mengesan dan menghapus kandungan yang menyalahi undang-undang selain meningkatkan pertukaran maklumat dan teknologi untuk menangani ancaman siber secara lebih berkesan.
“Pada masa sama mendidik pengguna tentang risiko dan tanggungjawab mereka di media sosial dengan meningkatkan kesedaran tentang cara melindungi data peribadi dan mengenali ancaman dalam talian,” katanya. – UTUSAN










