SEPANG: Kerajaan tidak berhasrat menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, malah kerajaan juga kekal berpendirian platform media sosial dan sistem pesanan internet perlu dikenakan rangka kawal selia untuk menjamin internet lebih selamat untuk rakyat negara ini terutama kanak-kanak dan keluarga.
Menurut beliau, sewaktu perbincangannya bersama wakil syarikat platform media sosial dan pesanan internet di Singapura baru-baru ini, mereka menyatakan pandangan yang positif dan kekal dengan pendirian itu.
Dalam hal ini, beliau hairan atas tindakan Gabungan Internet Asia (AIC) mengutuskan surat terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan pelesenan tersebut.
“Ia agak pelik malah agak janggal apabila syarikat Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tidak ada kaitan dengan surat AIC, tak dibincang dan ini kita serah kepada AIC untuk menjawab.
“Saya bersikap terbuka untuk berbincang, sejujurnya saya bersedia untuk bertemu dengan pihak AIC atau mana-mana pihak sekalipun,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, semalam.
AIC menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.
AIC yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab, mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.
Bagaimanapun, anggota gabungan itu, Grab menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terbabit dalam perihal surat terbuka AIC kepada Perdana Menteri Jumaat lalu dan pihaknya tidak dimaklumkan atau dirunding berhubung surat berkenaan yang menyentuh mengenai kerangka kawal selia kerajaan ke atas platform media sosial dan pesanan Internet.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihak MCMC juga sudah memberikan ruang kepada AIC untuk menyampaikan pandangan pada Mei lalu tetapi mereka meminta untuk dilanjutkan sehingga beberapa kali.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga mengambil pandangan daripada beberapa negara berhubung pelaksanaan rangka kawal selia ini termasuk di negara-negara Barat seperti United Kingdom setelah berlakunya rusuhan di sana,
“Mereka merasakan platform-platform ini perlu diperketat segera. Semalam pun saya bertemu dengan bekas Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, beliau sendiri menyatakan bahawa langkah Kerajaan Malaysia mempertimbangkan dan mengenakan rangka kawal selia dan melesenkan platform-platform ini adalah langkah betul,” katanya. – UTUSAN










