PETALING JAYA: Sekolah Sukan Malaysia Perlis yang terbengkalai selama 12 tahun dijangka siap tahun ini dan mula digunakan pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian projek berkenaan diarahkan segera selepas perkara itu dibangkitkan Menteri Besar Perlis ketika lawatan beliau ke negeri itu pada April tahun lalu.
Beliau berkata, Kerajaan Madani berjaya menyelesaikan projek berkenaan dalam tempoh kurang dua tahun.
“Insya-Allah, tahun ini Sekolah Sukan Malaysia Perlis siap dan boleh mula digunakan tahun depan.
“Terbengkalai selama 12 tahun, alhamdulillah Kerajaan Madani selesaikan dalam kurang dua tahun. Tahniah Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. – UTUSAN











