Teliti semula lesen media sosial - Gerakan

Teliti semula lesen media sosial – Gerakan

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) menyarankan kerajaan meneliti semula pelaksanaan lesen platform media sosial agar tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi digital negara ini. 

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ekonomi digital adalah salah satu pendorong ekonomi negara ini. 

Menurut beliau, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang akhir tahun depan dijangka meningkat daripada 23 peratus kepada 25.5 peratus.  

“Oleh itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memberi perhatian serius terhadap surat yang diterima daripada Asian Internet Coalition (AIC). 

“Dalam konteks perkembangan ekonomi digital yang pesat, kerajaan seharusnya memperkukuhkan dialog dengan syarikat teknologi ini mengenai isu-isu dasar internet dan amalan terbaik,” menurut kenyataan dikeluarkan. 

Media sebelum ini melaporkan, sebuah kumpulan industri Asia merangkumi Google, Meta dan X menggesa kerajaan Malaysia menghentikan rancangan yang menghendaki perkhidmatan media sosial memohon lesen atas alasan peraturan yang dicadangkan tidak cukup jelas.

Dalam pada itu, Dominic mencadangkan, kerajaan boleh merujuk kepada Akta Jenayah Siber yang dilaksanakan Singapura yang menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah-langkah pengesahan yang munasabah bagi menghalang pengguna palsu atau bot dalam talian. 

Selain itu, katanya, pengguna perlu menggunakan fungsi pengesahan log masuk yang kuat, termasuk mewajibkan pendaftaran menggunakan kad pengenalan.

“Pengawalan ketat terhadap media sosial dapat mengelakkan ia daripada terus disalahgunakan sebagai saluran penipuan dalam talian, tetapi ia tidak sepatutnya digunakan sebagai alat untuk menindas kebebasan bersuara yang adil dan benar. 

“Apa yang menyedihkan ialah mereka yang dahulunya bersuara lantang mempertahankan hak asasi manusia, kini giat menindas hak tersebut. Hanya kerajaan diktator yang akan berusaha untuk mengawal kebebasan bersuara dan tidak membenarkan sebarang kritikan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau mengingatkan kerajaan, pencapaian ekonomi digital negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah hasil daripada kelebihan geografi, sumber tenaga, serta dasar sokongan kerajaan yang menarik banyak syarikat antarabangsa untuk melabur dalam pembinaan pusat data. 

Ujarnya, kehadiran syarikat-syarikat teknologi itu bukan sahaja dapat merangsang pembangunan teknologi negara dan ekonomi digital, malah membantu negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Ini adalah model operasi yang memberikan pelbagai faedah, yang sepatutnya kita perkuatkan, bukan mengehadkannya dengan undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN