PADA 7 Mei lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika berucap pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di Kuala Lumpur berkata Kerajaan Malaysia giat merangka undang-undang bagi menangani keselamatan dalam talian.
Fahmi juga berkata Malaysia berhasrat bekerjasama dengan negara ASEAN yang lain dalam usaha mengawal selia lebih baik isu keselamatan dalam talian sekali gus bekerjasama rapat sebagai blok serantau bagi memastikan masa depan lebih sejahtera dan terjamin untuk negara.
Pada 10 Jun pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Kerajaan Malaysia akan melaksanakan kajian di seluruh negara dan mengadakan perbincangan kumpulan berfokus mengenai keselamatan dalam talian.
Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 bakal dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) pada 5 dan 6 September dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Menurut beliau, pengawalseliaan keselamatan dalam talian bertujuan antara lain meningkatkan keselamatan pengguna, memastikan platform dalam talian bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka hos dan mengambil langkah melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya seperti penderaan seksual kanak-kanak, ucapan berbaur kebencian, buli siber, penipuan dan bahan haram.
Ini diikuti oleh pengumuman MCMC pada 27 Julai bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.
MCMC berkata, penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini mesti mematuhi undang-undang Malaysia demi memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Keputusan ini telah menarik perhatian ramai, termasuk kritikan dari beberapa pihak yang bimbang tentang implikasi terhadap kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, kerajaan telah menegaskan bahawa langkah ini diambil semata-mata demi keselamatan negara dan bukan untuk mengekang kebebasan bersuara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya di Tambun pada 29 Julai pula mengingatkan, peraturan terhadap media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang bakal diperkenal kerajaan bertujuan mengatasi penyebaran jenayah serta maklumat berbahaya, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna.
Dengan mewajibkan lesen untuk pengendali media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet, kerajaan dapat memastikan bahawa semua platform tersebut mengikuti piawaian keselamatan yang ditetapkan, sekali gus meminimumkan risiko jenayah siber yang boleh merugikan pengguna.
Peraturan ini dibuat atas kesedaran bahawa media sosial adalah platform penting untuk rakyat menyuarakan pendapat dan berkongsi maklumat. Namun, dengan semakin banyaknya penyalahgunaan platform ini untuk penyebaran berita palsu, hasutan kebencian dan aktiviti haram maka atas dasar kebertanggungjawaban, langkah kawal selia yang wajar perlu diperkenalkan.
Kebebasan bersuara adalah hak asasi yang diiktiraf, namun ia perlu disertai dengan tanggungjawab. Kebebasan yang tiada sempadan adalah kebebasan yang mengundang malapetaka. Oleh itu, tindakan ini adalah untuk memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara, keselamatan negara dan kesejahteraan hidup rakyat.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengambil langkah sebegini. Beberapa negara lain juga telah memperkenalkan peraturan ketat terhadap platform media sosial atas pengalaman, semangat dan tujuan yang sama.
Di Jerman, Parlimen negara itu meluluskan Akta Penguatkuasaan Rangkaian (NEA), yang lebih dikenali sebagai NetzDG, pada 30 Jun 2017, dan berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 menghendaki platform media sosial dengan lebih dari dua juta pengguna untuk menghapuskan dalam tempoh 24 jam “kandungan haram” yang merangkumi pelbagai jenis jenayah daripada penghinaan terhadap pejabat awam hingga ancaman keganasan yang sebenar dengan denda sehingga 50 juta Euro jika gagal mematuhinya.
Di India, Peraturan Teknologi Maklumat India 2021, yang berkuat kuasa pada 26 Mei 2021 menetapkan platform media sosial dengan lebih lima juta pengguna untuk menerbitkan laporan pematuhan setiap bulan mengenai aduan yang diterima dan tindakan yang diambil. Ia juga mengenakan tanggungjawab ke atas platform media sosial untuk menangani kandungan haram di mana ia diwajibkan memberikan maklumat lanjut mengenai penulis pertama yang membuat penulisan yang mengganggu gugat kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan awam.
Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Kesatuan Eropah (EU), yang berkuat kuasa pada 19 Oktober 2022, juga mewajibkan penyedia perkhidmatan menambah ‘prosedur baru untuk penghapusan lebih cepat’ kandungan yang dianggap haram atau berbahaya untuk mencegah aktiviti haram dan berbahaya dalam talian serta penyebaran maklumat palsu. Ini bagi memastikan keselamatan pengguna, melindungi hak asasi dan mewujudkan persekitaran platform dalam talian yang adil dan terbuka. Ketidakpatuhan boleh mengakibatkan denda sehingga 6 peratus daripada jumlah perolehan tahunan global penyedia perkhidmatan.
Banyak lagi negara lain seperti United Kingdom, Ireland, Australia, Singapura dan Indonesia yang telah memperkenalkan peraturan serupa menjadikan Malaysia sedikit terlewat dalam hal ini. Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa negara-negara di seluruh dunia sedang berusaha untuk mengawal selia media sosial demi memastikan keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan paling diktator di Malaysia semata-mata kerana ia membuat pengawalseliaan keselamatan dalam talian adalah tidak berasas dan tidak wajar sama sekali. Label diktator tidak boleh diberikan dengan mudah kepada mana-mana kerajaan tanpa memahami dan menghayati tujuan sebenar tindakannya serta tanpa mempertimbangkan konteks tindakan yang diambil.
Tindakan Kerajaan Perpaduan memperkenalkan kawal selia ini memperlihatkan komitmen dan berusaha mengambil tanggungjawab untuk melindungi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. Langkah-langkah kawal selia media sosial ini adalah sebahagian usaha tersebut. Adalah penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia memahami matlamat sebenar di sebalik langkah-langkah ini dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zaid Ahmad ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).










