PORT DICKSON: Seorang penduduk di Kampung Sungai Raya, Linggi di sini lega apabila dapat menyelamatkan peralatan audio bernilai ratusan ribu ringgit dalam kejadian banjir yang melanda kampung tersebut baru-baru ini.
Syamsuddin Osman, 62, berkata, peralatan tersebut sangat penting baginya yang menjalankan perniagaan pengurusan acara dan audio.
“Pada waktu itu, hujan renyai-renyai sahaja, tiba-tiba air naik dari hadapan halaman rumah setinggi setengah meter.
“Air terus melimpah masuk ke dalam rumah dan saya bersama isteri, anak serta menantu segera menaikkan enam set peralatan audio kami bagi mengelak terkena air banjir.
“Dalam keadaan banjir yang sekelip mata itu, tiga kenderaan yang diparkir di bahagian belakang rumah juga sempat kami selamatkan dan bawa ke tempat tinggi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujar Syamsuddin lagi, kejadian banjir terbaharu yang dihadapinya sejak Sabtu lalu itu merupakan terburuk yang pernah dihadapinya kerana banjir tidak surut sepenuhnya walaupun selepas tiga hari.
Kejadian banjir termenung tersebut disebabkan oleh fenomena air pasang besar yang berlaku sejak minggu lalu dan juga hujan lebat.
Sementara itu, sehingga pukul 11 pagi tadi sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih di buka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang membabitkan 104 orang mangsa.
Tiga PPS itu adalah di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Kampung Tanjung Agas serta Balai Raya Kampung Sungai Raya.-UTUSAN.










