KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan cubaan mengedar pelbagai barangan seludup bernilai RM561,417.20 dalam tiga serbuan berbeza yang dilakukan pada 16 Julai, 17 Julai dan 22 Julai lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, keseluruhan rampasan berupa rokok dan daging khinzir sejuk beku itu melibatkan jumlah cukai dan duti RM887,287.72.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 16 Julai lalu, Bahagian Penguatkuasa JKDM Pahang menemukan sebuah lori ditinggalkan di tepi jalan di Taman Sri Mahkota di sini.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit, pasukan berjaya menemukan 1,260,000 batang rokok pelbagai jenis dan jenama bernilai RM100,8000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori terbabit dianggarkan bernilai RM1,002,480,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Besar di sini hari ini.
Bagaimanapun Mohd. Asri berkata, tiada tangkapan dilakukan semasa kejadian dan kes masih dalam siasatan bagi mengesan pemilik lori dan rangkaian sindiket terlibat untuk tindakan selanjutnya.
Bagi serbuan pada 17 Julai pula, beliau memberitahu, pihaknya merampas 150 keping daging khinzir seberat 6,750 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM135,000 dalam sebuah lori kontena sejuk beku di kilometer 131, Laluan Jeli-Gerik, Perak.
“Barangan terbabit dipercayai diambil dari negara Thailand untuk pasaran tempatan. Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori adalah sebanyak RM385,000.
“Dua lelaki berbangsa India berusia lingkungan 30an yang merupakan pemandu lori berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan pengimportan dan permit mengangkut daging khinzir sejuk beku terbabit serta ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Dalam serbuan ketiga pada 22 Julai lalu pula, JKDM Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok membabitkan sebuah kereta di kilometer 129 Lebuhraya Segamat-Kuantan dengan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 30an ditahan untuk tindakan selanjutnya.
“Hasil pemeriksaan terhadap kereta terbabit, pasukan menemukan 53,100 batang rokok pelbagai jenis dan jenama disyaki tidak berkastam bernilai RM5,617.20 dengan keseluruhan nilai rampasan termasuk kereta RM61,224.92,” ujarnya.
Kesemua barangan rampasan tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Mohd. Asri berkata, kes pertama disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 manakala kes kedua dan ketiga, Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
“Bagi ketiga-tiga kes, jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau yang mana lebih tinggi, sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN










