PETALING JAYA: Pengalaman hampir menemui ajal ketika melakukan latihan serangan di bawah permukaaan dan letupan dalam air tidak akan dilupakan oleh Nazri Che Ya, 57.
Beliau yang merupakan bekas anggota komando Pasukan Khas Laut (Paskal) menyifatkan kejadian menimpa dirinya pada tahun 1992 itu sebagai alah bisa tegal biasa dan tidak sama sekali mematahkan semangat untuk terus berbakti kepada negara.
Mengimbau detik tersebut, Nazri berkata, peristiwa yang berlaku lebih 30 tahun lalu di Selat Dinding Perak itu merupakan sebahagian persediaan sebelum melakukan operasi sebenar.
“Pada masa itu saya berada di dalam air bersama bahan letupan dan bersedia untuk latihan fasa serangan. Bagaimanapaun secara tiba-tiba tidak saya sedarkan diri serta hampir meninggal dunia akibat keracunan oksigen.

“Mujur perkara berkenaan di sedari rakan dan terus diselamatkan. Saya sedar-sedar sudah berada di hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Walaupun berdepan dengan pengalaman meragut nyawa, Nazri tetap berkhidmat kepada negara dari tahun 1986 sehingga 2008.
Berasal dari Machang, Kelantan, beliau merupakan sebahagian anggota kumpulan kedua penubuhan Paskal dan telah menyertai pelbagai misi antaranya Ops Pasir; Ops Sipadan dan Ops Spratly.
Dia juga terlibat dalam operasi khas susulan insiden penculikan membabitkan kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Sipadan,Sabah pada tahun 2000.
“Saya pada masa itu perlu masuk ke kawasan operasi dan bergabung dengan pasukan risik untuk bebaskan tebusan.
“Antara kenangan yang saya tidak lupakan ialah mereka (Abu Sayyaf) tidak agresif apabila berdepan tentera Malaysia. Mungkin disebabkan kita seagama dengan mereka,” katanya.
Nazri turut dihantar menyertai latihan bersama pasukan khas luar negara termasuk komando Special Air Service (SAS) di Australia pada tahun 1996 selama tiga bulan.
“Mereka memandang tinggi kemampuan kita sebab mampu melaksanakan latihan dan operasi pada tahap terbaik.
“Anggota Paskal juga mempunyai inisiatif sendiri dan boleh melakukan kerja tanpa pengawasan,” jelasnya.











