JAKARTA: Anak bongsu Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep dan isterinya, Erina Gudono dikritik pengguna media sosial kerana menayangkan percutian mewah ke Amerika Syarikat (AS).
Percutian pasangan ini berlaku serentak dengan demonstrasi ribuan penunjuk perasaan yang mendesak Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) membatalkan pindaan peraturan Pilihan Raya Daerah (Pilkada) yang membolehkan beliau bertanding.
Jika diluluskan, pindaan tersebut akan membenarkan Kaesang, 29, bertanding jawatan Gabenor di Jawa Tengah.
Menurut portal Tempo.co, pasangan tersebut dikatakan ke AS menggunakan sebuah jet peribadi berdasarkan hantaran di Instagram Erina yang memaparkan tingkap pesawat berkenaan yang bukan seperti dalam jet penumpang komersial.
Carian dalam Internet oleh pengguna media sosial mendapati, ia adalah sebuah jet peribadi model Gulfstream G650 dan disahkan lagi menerusi hantaran di media sosial kakak Erina, Nadya Sofia Gudono yang berkongsi gambar bahagian kokpit pesawat itu.
Menurut pengguna media sosial, kos menyewa jet tersebut boleh mencecah Rp4 bilion (RM1.13 juta) sehala, sekali gus mempersoalkan pembaziran dilakukan pasangan tersebut ketika masih ramai rakyat Indonesia hidup dalam kemiskinan.
Terdahulu, hasrat Kaesang untuk bertanding dalam Pilkada tidak kesampaian selepas DPR semalam mengumumkan akur kepada keputusan Mahkamah Perlembagaan yang tidak membenarkan pindaan terhadap peraturan pilihan raya berkenaan.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan semalam menetapkan, calon Gabenor atau Naib Gabenor perlu berumur sekurang-kurangnya 30 tahun ketika pencalonan dibuat, sementara Kaesang hanya genap 30 tahun pada 30 Disember nanti.










