Al-Sultan Abdullah titah wujud balai bomba di Tanjung Lumpur - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah titah wujud balai bomba di Tanjung Lumpur

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) mencemar duli menyampaikan sendiri sumbangan kepada mangsa kebakaran di Taman Kempadang Makmur di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya diwujudkan sebuah balai bomba dan penyelamat di Tanjung Lumpur di sini.

Baginda bertitah, penting diwujudkan sebuah balai bomba bagi kegunaan dan keselamatan penghuni di Tanjung Lumpur dan kawasan sekitarnya.

“Saya pun tidak nampak mana balai bomba di kawasan Tanjung Lumpur dan Inderapura.

“Sudah sampai masanya kita perlu adakan balai yang sesuai untuk kawasan ini. Semakin hari semakin banyak pembangunan di kawasan dan kita harap ini dapat diusahakan kerajaan,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Kejadian pada Khamis lalu itu mengakibatkan sebuah rumah hampir musnah dengan peratusan kebakaran 80 peratus, manakala peratusan kebakaran rumah kedua dan ketiga kira-kira 40 peratus.

Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak membuat perkara yang boleh mencetuskan kepada kebakaran.

“Kebakaran ini bukan sahaja disebabkan oleh cuaca kering. Ada juga disebabkan oleh kecuaian manusia.

“Kita nasihat supaya hati-hatilah. Jangan mudah-mudah buang puntung rokok dan bakar sewenang-wenangnya. Kena ambil kiralah perkara yang boleh mengakibatkan kebakaran itu berlaku,” titah baginda.

Mengulas tentang situasi kebakaran hutan dan air sungai kering, baginda turut menyeru agar rakyat negeri ini untuk sentiasa berdoa dan melakukan solat sunat istisqa.

“Saya setiap hari berdoa juga, kita semua rakyat kena berdoa jangan ada kemarau, jangan ada banjir dan segala musibah. Teruskan berdoa,” baginda bertitah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN