PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima kira-kira 400 insiden sehari secara purata, menyebabkan setiap laporan perlu melalui proses pengesahan sebelum operasi digerakkan bagi mengelakkan pembaziran aset dan anggota.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, langkah itu penting bagi memastikan sumber bomba tidak dikerahkan sewenang-wenangnya, terutama berikutan masih berlaku panggilan palsu atau main-main.
Katanya, panggilan sedemikian boleh menyebabkan sesuatu kawasan kehilangan perlindungan kecemasan sementara atau ‘vacuum protection’ apabila aset dikerahkan ke lokasi lain.
“Sebarang maklumat mengenai kejadian yang diterima akan terlebih dahulu melalui proses pengesahan bagi memastikan insiden berkenaan benar-benar berlaku sebelum operasi digerakkan.
“Namun begitu, sebab ia belum disahkan, kita akan mulakan gerak kerja dengan melakukan pengesahan sebaik sahaja mendapat maklumat. Kemudian barulah kita akan mula operasi,” katanya dalam rakaman podcast PodX Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, antara kaedah meningkatkan keyakinan terhadap sesuatu laporan ialah meneliti jumlah panggilan yang diterima daripada lokasi sama.
Katanya, kejadian sebenar lazimnya mendorong beberapa individu menghubungi talian kecemasan pada masa hampir sama.
“Kalau satu insiden itu benar-benar berlaku, sudah pasti ada dua atau tiga orang yang akan hubungi kami secara serentak.
“Namun, kalau seorang sahaja yang membuat panggilan dan ceritanya seolah-olah insiden itu besar tetapi tiada panggilan lain, kita akan menganggapnya mencurigakan dan perlu mencari maklumat dengan lebih teliti sebelum pasukan digerakkan,” katanya.
Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, JBPM tidak boleh terus menganggap sesuatu panggilan sebagai palsu walaupun terdapat keraguan terhadap maklumat diberikan.
Katanya, setiap panggilan yang melalui saringan awal tetap perlu diberi respons kerana pihaknya tidak boleh mengambil risiko menganggap kecemasan itu tidak benar.
“Bila kita panggil semula dan dia tidak menjawab, kita mungkin mengesyaki dia bermain-main. Tetapi sebagai agensi, kita tidak boleh. Kita tetap kena respons juga,” katanya.
Beliau berkata, panggilan kecemasan kini melalui saringan di tiga Pusat Respons Kecemasan (RCC) di Kuala Lumpur, Melaka dan Kuching yang dikendalikan Telekom Malaysia (TM).
Maklumat kejadian akan disaring sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan, termasuk JBPM bagi kes kebakaran dan kecemasan.
Nor Hisham berkata, pengendalian panggilan disasarkan kurang dua minit, manakala sistem C4i dan Next Generation 999 (NG999) membolehkan maklumat pemanggil dilihat agensi berkaitan ketika panggilan masih berlangsung.
Katanya, jumlah panggilan palsu dan main-main menurun ketara sejak pengenalan sistem MERS 999, namun kes sedemikian masih berlaku.
Menurutnya, keadaan itu lebih kritikal di kawasan yang hanya mempunyai sebuah balai dan sebuah jentera kerana penggerakan aset ke lokasi tidak signifikan boleh mewujudkan ‘vacuum protection’.
“Risiko itu bukan sahaja melibatkan pembaziran tenaga dan bahan api malah perjalanan jentera bomba dalam keadaan kecemasan turut membawa risiko keselamatan,” katanya. – UTUSAN











