Turkiye tolak kerjasama Israel dalam NATO

Turkiye tolak kerjasama Israel dalam NATO

PRESIDEN Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berucap semasa sidang media di luar Sidang Kemuncak NATO di Pusat Konvensyen Walter E. di Washington.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menolak sebarang percubaan untuk bekerjasama dengan Israel dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bercakap dalam sidang kemuncak NATO di Washington, beliau terus menekankan ‘kekejaman’ berterusan Israel di wilayah Palestin terutama di Gaza.

“Tidak mungkin (mustahil) bagi pentadbiran Israel, yang memijak nilai asas yang dijunjung pakatan kami, untuk meneruskan hubungan dengan NATO,” katanya.

Pakatan pertahanan ini mempunyai 32 ahli, tetapi ia juga mengekalkan hubungan dengan banyak negara bukan anggota dan organisasi antarabangsa yang dipanggil rakan kongsi NATO.

Erdogan berkata, pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menerusi dasar penjajahannya, bukan sahaja membahayakan keselamatan rakyat sendiri, bahkan seluruh wilayah.

“Sehingga keamanan menyeluruh dan mampan diwujudkan di Palestin, percubaan kerjasama dengan Israel dalam NATO tidak akan diluluskan oleh Turkiye.

“Penting bagi anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggunjawab bersatu untuk penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin berdasarkan sempadan 1967,” katanya.

Pada masa sama, Erdogan menyambut baik jumlah negara yang mengiktiraf Palestin, selain menggesa negara lain untuk turut memfailkan aduan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Katanya, Turkiye bersedia untuk mengambil sebarang inisiatif, termasuk jaminan, pertama bagi mengisytihatkan gencatan senjata dan mewujudkan keamanan kekal di Gaza.

“Saya menyeru semua sekutu kami untuk meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Netanyahu bagi memastikan gencatan senjata dan penyampaian bantuan kemanusiaan dilaksanakan tanpa gangguan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Serangan Israel selama sembilan bulan di Gaza mengorbankan lebih 38,000 rakyat Palestin dan mengakibatkan wilayah yang menempatkan 2.3 juta penduduk itu lumpuh sepenuhnya.- ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×