Sampah jejas imej Kampung Angkat Madani

Sampah jejas imej Kampung Angkat Madani

PEKERJA pembersihan MPTI mengutip sampah di Kampung Bahagia, Teluk Intan ketika tinjauan kelmarin. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sampah yang dibuang secara tidak terkawal menjejaskan imej Kampung Bahagia di sini sebagai Kampung Angkat Madani.

Tinjauan mendapati kawasan pembuangan sampah di tepi jalan utama di kampung itu, kerap penuh dengan sampah-sarap yang dibuabg oleh penduduk malah sehingga di luar kawasan yang disediakan.

Ini menyebabkan keadaan di situ kotor, berbau busuk dan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

Tinjauan juga mendapati tong sampah yang disediakan sudah ‘bocor’ menyebabkan sampah bertaburan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Zairul Akmal Kasim berkata, pihaknya menyedari tempat membuang sampah di kampung itu tidak mampu menampung jumlah sampah yang semakin bertambah.

Katanya, dianggarkan 20 tan sampah diangkut daripada pusat pembuangan sampah di kampung itu.

“Tong di tempat membuang sampah di Kampung Bahagia sudah lama, sejak tahun 1990-an lagi sudah berada di situ dan keadaannya sudah tentu tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah bahan buangan.

“MPTI sudah berbincang dengan Pejabat daerah HIlir Perak untuk menambah baik tempat buang sampah di kampung itu dengan membina satu dinding tinggi dan dihiasi dengan lukisan mural supaya orang yang melalui jalan itu tidak melihat sampah yang dibuang di dalam kawasan disediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pungutan sampah di Kampung Bahagia antara lokasi sampah yang menjadi tumpuan MPTI kerana di situ mencatat kadar pembuangan sampah yang tinggi.

“Jumlah sampah yang dikutip di Kampung Bahagia bertambah sehingga 20 tan seminggu. Pekerja bahagian pembersihan bergelumang dengan kekotoran dan bau busuk selain terdedah dengan persekitaran berbahaya.

“Ini merupakan cabaran kepada kakitangan bahagian pembersihan untuk memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan selamat,” katanya.

Sehubungan itu, MPTI meminta kerjasama semua penduduk di kampung itu supaya bersama-sama menjaga kebersihan terutamanya di tempat pembuangan sampah yang disediakan.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan Kampung Bahagia, di sini sebagai Kampung Angkat Madani kementerian ber­kenaan.

KPKT memperuntukkan seba­nyak RM2.5 juta bagi membangunkan kampung itu sebagai tarikan pelancong yang seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×