KOTA BHARU: Tindakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk membantu Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu tidak memberikan kesan kepada Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan yakin sokongan pengundi di kawasan berkenaan kepada PN masih lagi kukuh tetapi tetap perlu berusaha keras mempertahankan kerusi berkenaan.
“Soal siapa yang akan mewakili PN, kita belum putuskan dan proses penilaian perlu dilakukan. Lagipun masih awal untuk membuat keputusan.
“Kita tunggu sahaja isyarat dari pucuk pimpinan parti berkait dengan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Azizi yang juga bekas Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang mengumumkan tidak mahu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam PRK DUN tersebut pada 17 Ogos depan.
Sebaliknya, beliau bersedia memberi laluan kepada parti komponen lain untuk bertanding di kerusi tersebut.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu, Mohd Azizi mewakili PN dan menggunakan logo Pas menewaskan Ab. Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi. – UTUSAN










