KOTA BHARU: Parti Sedar Rakyat (Sedar) menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) 17 Ogos ini sebagai tapak untuk memperkenalkan parti itu sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Presidennya Othman Abdillah berkata, pemilihan Nenggiri itu dibuat berpandukan kepada kajian dan analisis yang telah dilakukan oleh mereka sebelum ini.
“Sebenarnya kita mahu bertanding semasa PRK Kemaman lagi, namun melihat kepada saingan yang sengit parti ambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.
“Namun di Nenggiri, kami lihat peluang dan penerimaan masyarakat di kawasan itu ada. Oleh demikian, kami membuat keputusan untuk bertanding dan jadikan ia sebagai tapak perkenalkan Sedar,” katanya kepada pemberita selepas mengambil borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan di sini hari ini.
Othman memberitahu, pada PRK Nenggiri pihaknya akan menampilkan anak tempatan di kawasan berkenaan sebagai calon.
Katanya, SEDAR akan membuat pengumuman mengenai calon itu dalam masa terdekat selepas mengadakan perbincangan dengan saf kepimpinan parti.
Katanya, SEDAR sudah mempunyai 15,000 orang ahli di seluruh negara walaupun parti berkenaan berasal dari Sarawak.
“Esok (Jumaat) saya akan ke Gua Musang untuk mencari lokasi yang sesuai dijadikan sebagai ‘war room’.
“Fokus utama yang akan kita bawa ialah isu melibatkan kemudahan infra kerana saya lihat kawasan itu masih ketinggalan,” ujarnya.-UTUSAN










