PRK Nenggiri: Bekas penjawat awam jadi taruhan Bersatu

PRK Nenggiri: Bekas penjawat awam jadi taruhan Bersatu

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bekas penjawat awam yang merupakan anak kelahiran Gua Musang menjadi antara taruhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, selain itu, pemimpin tempatan turut berada dalam senarai yang akan ditapis oleh pucuk pimpinan tertinggi parti sebelum diumumkan sebagai calon.

“Dua hari lalu, kita sudah serahkan tiga nama untuk diangkat sebagai calon untuk mewakili Bersatu pada PRK itu.

“Dua daripadanya bekas penjawat awam dan seorang pe­mimpin setempat. Ketiga-tiga mereka ini mempunyai aura dan cukup dikenali dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

PENGALAMAN

Kamarudin memberitahu, pada masa sama, ketiga-tiga nama itu mempunyai pengalaman luas dan politik dan merupakan ahli parti.

Katanya, beliau yakin calon yang ditampilkan itu mampu memikat hari pengundi sekali gus mempertahankan semula kerusi DUN Nenggiri.

“Insya-Allah, bila semuanya selesai kita akan umumkannya tiga hari sebelum penamaan calon,” ujarnya.

Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Mohd. Azizi kemudian memfailkan injunksi sementara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghentikan PRK DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan tetapi ditolak oleh mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd. Azizi boleh menyertai PRK itu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), Mohd Azizi Abu Naim menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN