Kerana Tengku Zafrul, 156 perwakilan boikot Mesyuarat Perwakilan UMNO Paya Besar? - Utusan Malaysia

Kerana Tengku Zafrul, 156 perwakilan boikot Mesyuarat Perwakilan UMNO Paya Besar?

Tindakan Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar daripada UMNO dan berhasrat mahu menyertai PKR akan menguji hubungan kedua-dua parti itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 156 perwakilan didakwa memulaukan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar di sini hari ini kerana dikatakan memboikot kehadiran perasminya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Difahamkan, daripada 572 perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar, 416 orang atau 72.72 peratus hadir mesyuarat berkenaan.

Pengerusi Veteran UMNO Paya Besar, Ghazali Jusoh mendakwa, perwakilan khususnya dalam kalangan veteran parti tersebut kecewa dengan Tengku Zafrul kerana tidak memfailkan afidavit bagi menyokong kewujudan Titah Adendum berhubung kes pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sepatutnya Tengku Zafrul membuat afidavit mengakui melihat dan membaca perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang membenarkan Najib untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukan di Penjara Kajang.

“Sebaliknya, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuat afidavit di Mahkamah Tinggi tentang kewujudan titah terbabit, Tengku Zafrul bertindak sebaliknya.

“Beliau memfailkan afidavit tetapi bagi membetulkan fakta yang didakwa tidak tepat berhubung Titah Adendum tersebut.

“Ini menyebabkan afidavit yang dibuat oleh Ahmad Zahid dan Wan Rosdy telah ditolak oleh Mlmahkamah atas alasan ‘hearsay’ atau pun khabar angin sahaja,” dakwanya di sini.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dalam afidavitnya berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul mendakwa, ada beberapa kesalahan fakta yang terkandung dalam afidavit Ahmad Zahid dan gagal memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi bagi membetulkan fakta yang didakwa tidak tepat, berhubung Titah Adendum berkenaan.

Mengulas lanjut, Ghazali mendakwa, sebagai tindak balas dan tanda sokongan serta solidariti terhadap Najib yang banyak berjasa kepada UMNO dan negara, pihaknya memboikot kehadiran Tengku Zafrul sebagai perasmi Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Paya Besar pada hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×