JELEBU: Fasa terakhir ekskavasi tapak arkeologi Gua Pelangi berusia 14,000 tahun yang terletak di Hutan Simpan Pasoh di sini perlu dilaksana bagi melengkapkan bukti kewujudan manusia zaman prasejarah di kawasan itu.
Tiga fasa ekskavasi yang telah dilaksanakan bermula tahun 2015 diikuti tahun 2016 dan pada tahun 2018 telah berjaya menemukan artifak prasejarah seperti kapak batu dan juga sisa makanan manusia prasejarah seperti siput sedut.
Kurator Bahagian Pengurusan Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd. Gorip berkata, terdapat satu lagi kawasan iaitu di bahagian muka pintu gua terbabit yang belum lagi dilaksanakan ekskavasi dan berkemungkinan terdapat rangka manusia prasejarah di situ.
“Ada satu kawasan di muka pintu gua yang belum kita ekskavasi dan di situ kami bercadang untuk ekskavasi bagi fasa empat.
“Berdasarkan kajian, memang ada masyarakat prasejarah yang berada dan menduduki gua ini kami menjangkakan jika ada penemuan rangka manusia adalah di bahagian di fasa empat yang mahu kita buat ekskavasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Aziz menambah, berdasarkan perancangan pihak Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan kajian tersebut sebelum ini, ekskavasi di Gua Pelangi memang melibatkan empat fasa.
“Apabila dilaksanakan fasa keempat, akan lengkap kajian ekskavasi Gua Pelangi sekali gus kita akan dapat satu bukti apa yang ada di Gua Pelangi sebelum ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu berpendapat, ekskavasi fasa terakhir itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum projek lain bagi menarik kehadiran pengunjung di kawasan terbabit.
“Ia termasuklah dalam usaha mencari rangka manusia prasejarah itu, ia akan menjadi daya tarikan yang kuat untuk orang ramai datang ke sini,” katanya yang turut memberitahu perlunya peruntukan yang besar untuk melaksanakan fasa keempat ekskavasi itu.
Semalam media melaporkan, tapak kajian arkeologi Gua Pelangi yang terletak di Hutan Simpan Pasoh di sini akan dibangunkan sebagai sebuah produk jejak geo (geotrail) sekali gus menjadi daya tarikan pelancong ke daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, penemuan artifak bersejarah yang diangarkan berusia 14,000 tahun pada tahun 2015 menjadikan kawasan gua itu mempunyai cukup elemen sebagai sebuah kawasan geotrail.
Sehubungan itu, menurut beliau, satu jumlah peruntukan akan diusaha untuk disediakan bagi merealisasikannya termasuk bagi tujuan melengkapkan fasa penyelidikan artifak di Gua Pelangi itu.-UTUSAN.










