'Harap adik pulang ke pangkuan keluarga selepas 30 tahun' - Utusan Malaysia

‘Harap adik pulang ke pangkuan keluarga selepas 30 tahun’

RAZMAN menunjukkan gambar Rosidi bersama rakan-rakan persekolahannya ketika usia 12 tahun ketika ditemui pemberita di Kampung Chenderak, Jelebu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang lelaki di Kampung Chenderak, di sini, masih berharap dapat bertemu kembali adik lelakinya yang telah ‘membawa diri’ dari keluarga kira-kira 30 tahun lalu.

Razman Abd. Malik, 55, yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik itu berkata, adiknya itu, Rosidi Abd. Malik yang kini berusia 54 tahun membawa diri selepas ibu bapa mereka berpisah.

Bagaimanapun menurutnya, pada tahun 2002, Rosidi ada menghubungi keluarga pada hari ibu mereka, Zainon @ Rubiah Ali meninggal dunia akibat barah.

“Namun pada hari berkenaan kami agak sibuk menguruskan jenazah ibu dan tidak sempat bertanya lanjut keberadaannya.

“Kami juga tidak menyedari sekiranya adik ada pulang atau hanya melihat dari jauh kami menguruskan jenazah ibu.

“Kira-kira tiga tahun lalu, kami dapat maklumat dia tinggal di sebuah rumah pangsa di Ampang, Selangor. Kakak sulung saya, Rosmah yang kini berusia 59 tahun cuba mencari adik di sana, namun hampa kerama kediaman sewa yang dimaksudkan sudah kosong,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Chenderak, di sini.

Cerita Razman lagi, mereka sangat berharap agar adik mereka dapat menghubungi keluarga semula dan pulang ke kampung halaman bagi mengeratkan semula hubungan mereka yang kini hanya tinggal enam beradik.

Menurutnya, kepulangan itu juga penting bagi menyelesaikan pelbagai urusan keluarga termasuk tanah pusaka arwah ibu mereka yang kini tidak dapat diusahakan.

“Masing-masing membawa haluan sendiri selepas ibu bapa berpisah. Semasa adik tinggalkan kampung halaman, saya sedang bekerja di kilang getah Felda Serting.

“Buat masa ini kami sukar mencari gambar adik kerana banyak gambar rosak serta terpaksa dibuang kerana banjir besar yang melanda kampung pada penghujung tahun 2021 yang lalu,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, adiknya itu mempunyai kesan ketara untuk dikenali iaitu ketiadaan tiga jari kanan iaitu telunjuk, hantu dan manis akibat kemalangan di kilang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat keberadaan Rosidi boleh menghubungi Razman menerusi nombor telefon 017-2584406 atau Rosmah Abd. Malik menerusi nombor 017-4958040.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN