JELEBU: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan menggunakan strategi `pertahankan dua dan serang dua’ bagi memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Jelebu pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Timbalan Pengerusi PH negeri, Anthony Loke Siew Fook berkata, pakatan itu akan mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandang oleh beliau sendiri selama dua penggal lalu dan DUN Klawang yang dimenangi oleh Datuk Bakri Sawir dari Parti Amanah Negara (Amanah), juga selama dua penggal.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, gabungan itu akan `menyerang’ kerusi DUN Pertang dan Sungai Lui yang kini masing-masing disandang oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Jalaluddin Alias dan Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali.
“Sasaran PH untuk Parlimen Jelebu ini amat jelas iaitu kami hendak pertahankan DUN Chennah dan Klawang serta memberikan persaingan sengit untuk DUN Pertang dan Sungai Lui.
“Jadi strategi kita `pertahankan dua dan serang dua’ dengan kempen secara berpasukan daripada ketiga-tiga parti dalam PH,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan DUN Chennah di Pekan Titi di sini hari ini.
Menurutnya, beliau yakin PH boleh mempertahankan kerusi DUN Chennah dan Klawang berdasarkan sokongan pengundi dan gerak kerja oleh masyarakat setempat.
“Di DUN Chennah ini, kita ada jentera yang sangat komited daripada pelbagai cawangan DAP dan juga para pemimpin masyarakat tempatan. Sudah tentu mereka akan bersemangat untuk melaksanakan tugas kempen mereka,” ujarnya.
Siew Fook memberitahu, seperti yang sudah dinyatakan sejak awal pembubaran DUN, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Chennah dan berasa gembira jika Bakri dapat diberikan mandat semula untuk DUN Klawang.
Tambahnya, beliau hanya boleh memberikan sokongan dan terpulang kepada kepimpinan Amanah di peringkat Pusat untuk mencalonkan semula Bakri untuk DUN berkenaan.
“Tapi saya yakin beliau merupakan calon yang sesuai untuk kawasan ini dan memang ada rekod yang berkesan yang baik.
“Saya sudah lama kenal Bakri dan selama ini gerak kerja kami sentiasa menyokong antara satu sama lain khususnya di kawasan yang ramai pengundi Cina dan DAP memberikan sokongan gerak kerja kepada beliau di kawasan kampung,” katanya.
Untuk rekod, dalam PRN 2023, Siew Fook memenangi kerusi DUN Chennah dengan majoriti 2,200 undi meningkat berbanding 1,155 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.
Manakala Bakri menang kerusi DUN Klawang dengan majoriti 976 undi pada PRU-14 dan 577 undi pada PRN 2023. – UTUSAN










