27 menara telekomunikasi menerusi inisiatif Jendela di N. Sembilan siap - Utusan Malaysia

27 menara telekomunikasi menerusi inisiatif Jendela di N. Sembilan siap

AMINUDDIN Harun (tengah) pada Majlis Pemuktamadan Pembinaan 27 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 Negeri Sembilan oleh Edotco Malaysia Sdn. Bhd. di Kampung Rambai Baris, Jelebu hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sebanyak 27 buah menara telekomunikasi yang didirikan di bawah inisiatif Projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu di Negeri Sembilan telah pun siap.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut, lapan buah menara telah beroperasi manakala baki 19 buah lagi masih dalam proses pemasangan peralatan telekomunikasi.

Menurut beliau, ia termasuklah penyediaan infra gentian optik bagi menghubungkan data komunikasi dari satu menara ke menara yang lain.

“Mengikut perancangan ia dapat beroperasi hujung tahun ini tetapi kerajaan negeri berharap ia dapat disegerakan sekurang-kurangnya pertengahan atau suku ketiga tahun 2024 ini. 

“Berdasarkan data yang diberikan, dengan tersedianya pembinaan menara telekomunikasi di 27 kawasan ini, dijangka seramai 16,000 penduduk akan menerima manfaat perkhidmatan jalur lebar internet yang lebih baik melalui pelaksanaan Jendela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemuktamadan Pembinaan 27 Menara Telekomunikasi Baharu Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 Negeri Sembilan oleh Edotco Malaysia Sdn. Bhd. di Kampung Rambai Baris di sini hari ini.

Aminuddin sementara itu berkata, pihaknya gembira apabila Negeri Sembilan menerima tambahan pembinaan iaitu sebanyak 26 buah lagi menara telekomunikasi juga menerusi Jendela.

“Kami akan mengenal pasti kawasan-kawasan terlibat bagi memastikan bahawa semua kawasan di luar bandar menerima manfaat daripadanya, saya juga harap pembinannya dapat dilakukan dengan segera,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Negeri Sembilan. Bukhari Yahya berkata, kesemua 27 buah menara telekomunikasi tersebut berjaya didirikan sepenuhnya secara berperingkat sehingga akhir tahun lalu oleh pihak pembina menara yang dilantik iaitu syarikat Edotco Malaysia Sdn. Bhd.

Jelas beliau, kesemua menara telekomunikasi itu didirikan di kawasan luar bandar termasuk perkampungan orang asli yang telah dikenal pasti berada dalam keadaan kritikal dalam mendapatkan perluasan akses internet yang inklusif.

“Tambahan sebanyak 26 buah menara telekomunikasi baharu telah dirancangkan bagi pelaksanaan di bawah Program Pemberian Sejagat (PPS) Jendela di Negeri Sembilan.

“Ia dijangka akan dilaksanakan bermula suku pertama 2024 dalam usaha untuk memperluaskan lagi liputan internet di kawasan luar bandar berpenduduk,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN